AKTA PENDIDIKAN 1996 PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN (PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998 [Sub peraturan 7(2)] PERLEMBAGAAN PERS...
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SEKOLAH :
.................................................................................
Nama dan Alamat
1. Persatuan ini dikenal dengan
nama:
.......................................................................................................................
2. Alamat yang didaftarkan bagi
Persatuan ini ialah:
.......................................................................................................................
.......................................................................................................................
Tujuan-tujuan Persatuan
3. Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk mengadakan sesuatu
forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah
dalam meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah
usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam
kegiatan mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa
dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada
ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara
memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
e) untuk membolehkan ibu bapa
dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan
meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran
dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
4. Fungsi Persatuan ialah untuk
menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang
dinyatakan di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan
perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan
Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan
menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat
setempat;
d) meningkatkan kecerian premis
Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti
dan program pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota Persatuan terdiri
daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang
belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang
diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan
Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang
berkenaan (seperti di Lampiran A); dan
6. Guru Besar atau Pengetua
Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan hendaklah diuruskan
oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG".
Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap
Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota Jawatankuasa PIBG
hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
9. Keanggotaan Jawatankuasa PIBG
adalah seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) ...........................
orang Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru
yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
11. Guru Besar atau Pengetua
tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai
Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa
PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.
13. Bilangan anggota Jawatankuasa
PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut)
yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada
keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk kepada perenggan 13
Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan
Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau
Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak
lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota
Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh memegang jawatan dalam
Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat
Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan
oleh pendaftar.
16. Jika berlaku kekosongan
jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana
anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota
Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa PIBG hendaklah
mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan
dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas
tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi Jawatankuasa PIBG
ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas
perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan
dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan
Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua
mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab
atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan
hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi
pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi
oleh semua anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala
peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat
Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan
Guru Besar atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti
dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan nasihat
mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau
Pengetua selaku Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu
Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab
dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan
mengikut Perlembagaan Persatuan.
ii) Melaksanakan
keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan
menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan
untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang
bersangkutan dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan
aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau
Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang
berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan
mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira-
kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31
Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk
diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk
kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan
diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar
selepas Mesyuarat berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan
wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau
mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak
melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak
Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain
sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun
Persatuan pada hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau
penyata pengeluaran wang Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku
terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki
kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua
Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada
Jawatankuasa PIBG dan Persatuan. Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar
atau Pengetua adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat
Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar,
tetapi tidak boleh mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan
Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan
menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat
dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan,
dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta
hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan
menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan
anggota Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda
mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG
dan Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada
sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta
isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan
persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan
Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan
tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat
dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut
peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik
2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi
anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit
dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan
pada setiap akhir tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara
berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika
berlainan dari alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan
Mesyuarat Agung Tahunan diadakan di
..............................................................................................................
Kuorum
21. Kuorum mesyuarat yang
diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa
PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG -
hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan
hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
23. Jika Mesyuarat Agung Tahunan
tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah
mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru
Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.
24. Notis tarikh Mesyuarat Agung
Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya
14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya kuorum untuk
mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa
yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG
hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan
tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal
tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung
Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit
Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima
Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan
meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG
bagi tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa usul bertulis
hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum
tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk
menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat Agung Tahunan
bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG
serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan
Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk
memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah
mempunyai pencadang dan penyokong; dan
c) pemilihan hendaklah
dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi
terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar
boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh
Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis
sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat Agung Tergempar
hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa
PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan
Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat
Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya
7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung
Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan Mesyuarat Agung
Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar
kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat
Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas
tarikh Mesyuarat.
33. Laporan Mesyuarat Agung
Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah
atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam
tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah
bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat
hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari
sebelum tarikh Mesyuarat.
36. Yang Di-Pertua, atau
sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat
Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.
37. Setiap anggota Jawatankuasa
PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah
digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang
Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik
sahaja keputusan itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan
Persatuan adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan
(anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada
individu, organisasi dan badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi
daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan
Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah
membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama
Persatuan.
40. Apa-apa wang yang diterima
atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan
pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini,
Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi
................................................................................................
pada satu-satu masa.
Perbelanjaan wang Persatuan
41. Jawatankuasa PIBG diberi
kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan
faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan
Persatuan.
42. Segala cek atau kenyataan
pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh
Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
43. Bendahari dan Yang Di-Pertua
hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun
Persatuan sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan
bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan
45. Penyata Kira-kira Kewangan
Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan
diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
46. Satu salinan Penyata
Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam
Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai
Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang
berkenaan.
47. Pendaftar, Pegawai Pendidikan
Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan
memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan tidak boleh
memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya
sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat
kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan
Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh
Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana
yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
49. Apa-apa harta yang
diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan
apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang
diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa cadangan untuk
meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui
Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
51. Cadangan pindaan yang hendak
dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung
Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan
yang hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan
hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan
atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.
Larangan
54. Persatuan tidak boleh
memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan
dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah
dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
55. Persatuan bukanlah suatu
entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat
kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa
program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa
suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada
Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
56. Persatuan tidak boleh menjadi
forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan
dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan
Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri
atau Kerajaan Persekutuan.
57. Persatuan tidak boleh
bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti
politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi,
pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah
mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.
Tafsiran
58. Sebarang kekeliruan atau
pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada
Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh
dibubarkan dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada
Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa wang dalam akaun
Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan
kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di
mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan
kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh
Pendaftar.
61. Guru Besar atau Pengetua
hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila
Persatuan dibubarkan.
Perlembagaan Sekolah:
.............................................................................
Alamat Sekolah:
.............................................................................
Tandatangan Guru Besar /
Pengetua: .............................................................................
Nama Guru Besar / Pengetua:
.............................................................................
Tarikh:
.............................................................................
___________________________________________________________________
Diluluskan oleh:
Pendaftar Sekolah dan Guru
Cop:
Tandatangan:
Nama:
Tarikh:
...................................
Catat Ulasan